(Hari
Keputeraan Baginda Rasulullah SAW)
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat
kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan
ucaplah salam penghormatan kepadanya”
Al-Ahzab: 56
Kadang kala kita terleka bahawa ada satu ucapan yang
patut diungkapkan dengan menghayati setiap makna perkataan agar iman kita
sentiasa basah dan hati kalbu kita sentiasa tunduk terhadap segala kebongkakkan
diri yang mengaku bahawa kita umat Nabi Muhammad. Ucapan tersebut tidak lain
dan tidak bukan adalah ucapan selawat terhadap baginda Rasulullah SAW.
Sedar tidak sedar, hari dimana kekasih Allah , Nabi
Muhammad SAW lahir semakin tiba, hari di mana cahaya Islam mula memancarkan
sinarnya, menggugah dakyah masyarakat jahiliyyah yang dahulunya
mengamalkan-amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Alhamdulillah, syukur
ya Allah, kerana perjuangan dakwah baginda dan para sahabat , kita pada hari
ini dapat menghirup segarnya nikmat bergelar Muslim.
Saya ingin mengajak kita
semua agar bersama-sama menghayati sirah kelahiran dan perjuangan insan yang
digelar “ Cahaya Atas Cahaya” ini. Baginda dilahirkan pada hari isnin, 12
Rabiulawal bersamaan 20 April 570 masihi pada tahun gajah di tengah kota Makkah
Al-Mukarramah. Tahun dimana Raja Abrahah bersama tentera-tenteranya telah
melakukan penyerangan terhadap Baitillah il-Haram. Disebutkan peristiwa ini pada
surah Al-Fil ,dimana sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan
menghancurkan tentera bergajah Raja Abrahah. Allahu Akbar ! sungguh,
pertolongan Allah itu sangat dekat, lebih dekat dari urat leher .
Banyak lagi peristiwa-peristiwa ajaib dan
menakjubkan yang berlaku sempena kelahiran baginda yang dicatatkan dalam Al-Quran. Perkara ini
tidak lain tidak bukan memberi petanda bahawa akan lahirnya seorang utusan
Allah yang bakal mengibarkan panji Islam dan menyebarkan risalah Islam pada
seluruh masyarakat.
Arkian, setelah kita menghayati detik kelahiran
baginda, mari kita mengimbau semula sejarah kepayahan dan kemanisan yang beliau
hadapi semasa detik prakarsa perjuangan baginda .
Antara peristiwa yang dapat mengalirkan air mata
kita sebagai seorang umat Muhamad adalah apabila saat kewafatan baginda
.Baginda sangat gusar dalam memikirkan maslahah umat di hari Qiamat kelak
sehinggakan disaat kewafatan, baginda berkali kali mengungkapkan perkataan “ummati
ummati ummati”. Hal ini demikian,baginda amat sedih dan takut untuk
meninggalkan umat-umatnya kerana syaitan telah berjanji akan sedaya upaya untuk
melemparkan hasutan busuk supaya ajaran Islam tersirna dari segenap hati
manusia .
Baginda telah ditohmah dan dikecam oleh pihak musyrikin dan mehnah ini tidak
sekali kali menggugat kesanggupan baginda berkorban di jalan Allah. Mengimbau
kembali siri-siri perjuangan baginda, seperti kecederaan yang baginda hadapi
semasa Perang Uhud, penat jerih penghijrahan ke Madinah dimana baginda dan Saidina
Abu Bakar terpaksa berlindung di Gua
Thur untuk mengelakkan diri daripada dikesan oleh pihak Quraisy dan bermacam
macam lagi. Tidakkah kita rasa beruntung kerana kita lahir dalam keadaan Islam
itu sendiri diterima masyarakat jika dibandingkan dengan keperitan yang
dihadapi Rasulullah dan sahabat untuk mengembangkan Islam sehingga 2/3 dunia ?
Pernahkah kita terfikir apakah balasan yang dapat kita hadiahkan bagi menghargai jasa
Rasulullah ini ?
Antara uslub(cara-cara) untuk memanifestasikan cinta
kita yang membuak buak terhadap Baginda adalah :
1)Menjunjung tinggi dan mengamalkan sunnahnya :
“Katakanlah (wahai Muhammad) “Jika benar kamu
mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu”
Ali-Imran :31
2)Berselawat ke atas baginda :
Tamsilnya, selaku umat rasulullah SAW, kita amat
beruntung kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Rasulullah SAW
sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT.
3)Menghargai setiap pengorbanan baginda dengan
bersedia untuk berkorban untuk Islam walau dengan sekecil cara pun kerana
setiap amalan akan dihitung olehNya. Hal ini kerana , bagi meneruskan risalah
perjuangan baginda yang kita lihat semakin malap di jiwa ummah marcapada.
4)Menjadikan baginda sebagai “Qudwatun Hasanah”
kerana baginda adalah sebaik baik manusia . Bermula dengan sekecil kecil
perkara seperti cara baginda berinteraksi dan sebagainya.
Ini hanyalah secebis kaedah yang mungkin kita boleh
lakukan bagi membuktikan kasih kita, kendatipun,ada banyak lagi cara yang kita
boleh lakukan . Semoga hari istimewa yang bakal menjelma bagi seluruh umat
Islam ini dapat mengingatkan kita kembali kepada pengorbanan yang baginda
lakukan bagi menukarkan “status” Islam dari Ghuraba’ (terasing) kepada terkenal
di mata seantero hati hati yang mencari jalan hidup mahmudah, iaitu ISLAM , THE
WAY OF LIFE.
Sikit nya tapi x pe yg itu pun dh mencukupi :]
ReplyDelete