Friday, January 10, 2014

Maulidur Rasul , I love you Muhamad


                             (Hari Keputeraan Baginda Rasulullah SAW)

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya”
                                                         Al-Ahzab: 56

Kadang kala kita terleka bahawa ada satu ucapan yang patut diungkapkan dengan menghayati setiap makna perkataan agar iman kita sentiasa basah dan hati kalbu kita sentiasa tunduk terhadap segala kebongkakkan diri yang mengaku bahawa kita umat Nabi Muhammad. Ucapan tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah ucapan selawat terhadap baginda Rasulullah SAW.
Sedar tidak sedar, hari dimana kekasih Allah , Nabi Muhammad SAW lahir semakin tiba, hari di mana cahaya Islam mula memancarkan sinarnya, menggugah dakyah masyarakat jahiliyyah yang dahulunya mengamalkan-amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Alhamdulillah, syukur ya Allah, kerana perjuangan dakwah baginda dan para sahabat , kita pada hari ini dapat menghirup segarnya nikmat bergelar Muslim.

Saya ingin mengajak kita semua agar bersama-sama menghayati sirah kelahiran dan perjuangan insan yang digelar “ Cahaya Atas Cahaya” ini. Baginda dilahirkan pada hari isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 570 masihi pada tahun gajah di tengah kota Makkah Al-Mukarramah. Tahun dimana Raja Abrahah bersama tentera-tenteranya telah melakukan penyerangan terhadap Baitillah il-Haram. Disebutkan peristiwa ini pada surah Al-Fil ,dimana sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan tentera bergajah Raja Abrahah. Allahu Akbar ! sungguh, pertolongan Allah itu sangat dekat, lebih dekat dari urat leher .

Banyak lagi peristiwa-peristiwa ajaib dan menakjubkan yang berlaku sempena kelahiran baginda  yang dicatatkan dalam Al-Quran. Perkara ini tidak lain tidak bukan memberi petanda bahawa akan lahirnya seorang utusan Allah yang bakal mengibarkan panji Islam dan menyebarkan risalah Islam pada seluruh masyarakat.

Arkian, setelah kita menghayati detik kelahiran baginda, mari kita mengimbau semula sejarah kepayahan dan kemanisan yang beliau hadapi semasa detik prakarsa perjuangan baginda .
Antara peristiwa yang dapat mengalirkan air mata kita sebagai seorang umat Muhamad adalah apabila saat kewafatan baginda .Baginda sangat gusar dalam memikirkan maslahah umat di hari Qiamat kelak sehinggakan disaat kewafatan, baginda berkali kali mengungkapkan perkataan “ummati ummati ummati”. Hal ini demikian,baginda amat sedih dan takut untuk meninggalkan umat-umatnya kerana syaitan telah berjanji akan sedaya upaya untuk melemparkan hasutan busuk supaya ajaran Islam tersirna dari segenap hati manusia .

Baginda telah ditohmah dan dikecam  oleh pihak musyrikin dan mehnah ini tidak sekali kali menggugat kesanggupan baginda berkorban di jalan Allah. Mengimbau kembali siri-siri perjuangan baginda, seperti kecederaan yang baginda hadapi semasa Perang Uhud, penat jerih penghijrahan ke Madinah dimana baginda dan Saidina Abu Bakar  terpaksa berlindung di Gua Thur untuk mengelakkan diri daripada dikesan oleh pihak Quraisy dan bermacam macam lagi. Tidakkah kita rasa beruntung kerana kita lahir dalam keadaan Islam itu sendiri diterima masyarakat jika dibandingkan dengan keperitan yang dihadapi Rasulullah dan sahabat untuk mengembangkan Islam sehingga 2/3 dunia ? Pernahkah kita terfikir apakah balasan yang dapat  kita hadiahkan bagi menghargai jasa Rasulullah ini ?

Antara uslub(cara-cara) untuk memanifestasikan cinta kita yang membuak buak terhadap Baginda adalah :

1)Menjunjung tinggi dan mengamalkan sunnahnya :
“Katakanlah (wahai Muhammad) “Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu” Ali-Imran :31

2)Berselawat ke atas baginda :
Tamsilnya, selaku umat rasulullah SAW, kita amat beruntung kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Rasulullah SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT.

3)Menghargai setiap pengorbanan baginda dengan bersedia untuk berkorban untuk Islam walau dengan sekecil cara pun kerana setiap amalan akan dihitung olehNya. Hal ini kerana , bagi meneruskan risalah perjuangan baginda yang kita lihat semakin malap di jiwa ummah marcapada.

4)Menjadikan baginda sebagai “Qudwatun Hasanah” kerana baginda adalah sebaik baik manusia . Bermula dengan sekecil kecil perkara seperti cara baginda berinteraksi dan sebagainya.


Ini hanyalah secebis kaedah yang mungkin kita boleh lakukan bagi membuktikan kasih kita, kendatipun,ada banyak lagi cara yang kita boleh lakukan . Semoga hari istimewa yang bakal menjelma bagi seluruh umat Islam ini dapat mengingatkan kita kembali kepada pengorbanan yang baginda lakukan bagi menukarkan “status” Islam dari Ghuraba’ (terasing) kepada terkenal di mata seantero hati hati yang mencari jalan hidup mahmudah, iaitu ISLAM , THE WAY OF LIFE.